BIODATA TOKOH 

 

 

 

  -  LONG JAAFAR  dan NGAH IBRAHIM -  

Tokoh  Korporat Melayu ( Bapa dan anak )

Terulung Di Tanah Melayu

1780-an Hingga 1895  

 

                                        

 

 

BIODATA LONG JAAFAR (1790-AN -1856)

A.        USAHAWAN

1.        Merupakan pengusaha bijih timah bermula pada tahun 1840.

2.        Merupakan pengusaha ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang.

3.        Merupakan pengusaha ladang kopi di Assam Kumbang, Taiping.

 

Nota:- Tebu dihantar ke Pulau Pinang melalui Kuala Gula untuk diproses menjadi gula.Di sini terdapat ramai penyokong kongsi gelap Ghee Hin  

 

B.      HARTA

1.      Mempunyai bangunan kediaman dan kota di bukit gantang.

1.1        Sebagai Pusat Pertahanan.

1.2        Sebagai Pusat Pentadbiran.

1.3        Sebagai gudang simpan bijih timah, gula dan kopi.

1.4        Sebagai gudang bekalan makanan, perubatan dan lain-lain.

2.     Mempunyai tanah dan kediaman di Makkah.

3.     Membawa masuk 20 orang Cina untuk menjadi buruh di lombong bijih timah di Larut.

4.      Memiliki semua tanah lombong, tebu dan kopi.

5.      Diberikuasa memungut semua cukai di daerah Larut hingga ke Kerian oleh Sultan Perak.

 

 

C.     PERTAHANAN

1.       Mempunyai Kota, sebagai pusat pertahanan di Bukit Gantang, Taiping.

2.       Mempunyai gudang simpan senjata seperti meriam,senapang,ubat  bedil,lembing,tombak dan lain-lain senjata

3.       Mempunyai pengawal dan pahlawan yang terdiri daripada orang Melayu dan Habshi.

4.       Mempunyai pasukan bergajah,kereta lembu, kerbau sebagai pertahanan dan pengangkutan.

D.                        AGAMA DAN KEBAJIKAN

1.                  Mewakafkan tanah untuk didirikan surau, masjid dan tanah perkuburan di Bukit Gantang dan Taiping.

2.                  Mendirikan pusat fardu ain dan kifayah.

3.                  Mengadakan guru agama.

4.                  Mendirikan pendidikan tidak formal seperti Sekolah Melayu Matang Gelugur yang dibina pada tahun 1826.  

E.      POLITIK DAN DIPLOMATIK

1.       Berjiwa nasionalis, berhemah tinggi, berwawasan dan berdiplomasi.

2.       Mengadakan perhubungan dengan kuasa asing untuk perdagagan dan pertahanan.

3.       Mengadakan perhubungan baik dengan raja-raja dan pembesar-pembesar melayu.

4.       Memerintah orang-orang Melayu di Bukit Gantang, Larut,Klian Pauh dan kamuntung sebagai wakil sultan Perak

 

F.        MENINGGAL DUNIA

1.       Ketika mencapai kemuncak kecemerlangan dalam perusahaan melombong bijih timah dan berjaya mengharumkan Negara serta meletakan nama Tanah Melayu dalam peta dunia.

2.       Meninggal dunia dalam tahun 1856.

3.       Dimakamkan di tanah perkuburkan keluarganya di Bukit Gantang,Taiping.

 

G.      JASA DAN BAKTI

1.        Memperkukuhkan ekonomi, keselamatan, martabat dan maruahorang

           Melayu.

2.        Merupakan tokoh korporat.

3.        Pengasas Bandar Taiping.

ATAS   

BIODATA NGAH IBRAHIM (1836-1895)

A.       USAHAWAN

1.        Merupakan pengusahalombong bijih timah pada tahun 1850-an.

2.        Merupakan pengusaha ladang tebu di Kerian dan Bagan Tiang.

3.        Merupakan pengusaha ladang kopi di Assam Kumbang,Taiping.

 Nota:-Tebu dihantar ke Pulau Pinang melalui Kuala Gula untuk diproses   

 menjadi gula.Di Kuala Gula terdapat ramai penyokong Ghee Hin.

 

 

B.      HARTA

1.        Mempunyai bangunan kediaman dan kota di Matang

          1.1      Sebagai Pusat Pertahanan.

          1.2      Sebagai Pusat Pentadbiran

          1.3      Sebagai gudang simpan bijih timah, gula dan kopi.

          1.4      Sebagai gudang bekalan makanan, perubatan dan lain-lain.

2.        Mempunyai tanah dan kediaman di Makkah.

3.        Membawa masuk lebih  ramai orang Cina untuk menjadi buruh di   lombong bijih timah telah berkembang. Memiliki beberapa kapal wap yang terkenal `bahtera Bayu’ yang berharga $25,000.00.

5.       Hasil terbesar  dalam tahun 1867 sebanyak $6 juta.

6.       Memiliki tanah lombong, lading tebu dan kopi.

7.       Diberi kuasa memunggut cukai di Daerah Larut hingga ke Kerian.

8.       Pada 23.10.1863, Sultan Jaafar Mua’azzam Syah (Sultan Perak ke -23) telah mengurniakan gelaran `Orang Kaya Menteri Paduka Tuan’ (yang pertama) kepada Ngah Ibrahim.Nota:Gelaran tersebut disandang oleh Dato’Seri Wan Omar bin Wan Ahmad Rasdi, sekarang (Warisan ke -7)

 

C.       PERTAHANAN

1.       Mempunyai Kota, sebagai pusat pertahanan di Matang.

2.       Mempunyai gudang simpan senjata seperti meriam,senapang, ubat bedil, lembing, tombak dan lain-lain senjata.

3.       Mempunyai pengawal dan pahlawan yang terdiri daripada orang Melayu dan Habshi.

4.      Mempunyai pasukan bergajah,kereta lembu,kerbau, kuda sebagai pertahanan dan pengagkutan.

5.       Pasukan polis ( Melayu,Pattan dan Benggali) di ketuai oleh Kapten Speedy pada tahun 1873.

 

D.       AGAMA DAN KEBAJIKAN

1.       Mewakafkan tapah untuk didirikan surau , masjid dan tanah perkuburan di Matang dan Taiping.

2.       Mendirikan pusat fardu ain dan kifayah.

3.       Mengadakan guru agama.

4.       Mendirikan pendidikan tidak formal seperti Sekolah Melayu Matang Gelugor  yang dibina pada tahun 1873.                 

E.       POLITIK DAN DIPLOMATIK

1.       Berjiwa nasionalis, berhemah tinggi, berwawasan dan berdiplomasi.

2.    Mengadakan perhubungan dengan kuasa asing untuk perdagangan dan pertahanan.

3.       Mengadakan perhubungan baik dengan raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu.

4.       Memerintah orang-orang Melayu di Bukit Gantang ,Matang, Larut,Klian  

          Pauh dan Kamunting sebagai wakil Sultan Perak.

5.       Menentang Perjanjian  Pangkor 20.1.1874.

6.       Masyarakat majmuk telah wujud diMatang sejak tahun 1860-an.

F.      MENINGGAL DUNIA

1.      Ketika berusia 20 tahun,Ngah Ibrahim mewarisi arena korporat.

2.      Mengendalikan perusahaan lombong bijih timah yang banyak, lading tebu dan kopi.

3.      Pada tahun 1877, dibuang negeri ke Pulau Seycelles oleh Inggeris.

4.      Semasa dalam keadaan keuzuran dan hampir buta belia dibawa balik dan dipaksa tinggal di Singapura.

5.      Meninggal dunia pada tahun 1895 dimakamkan di Singapura.

 

G.     JASA DAN BAKTI

1.       Memperkukuhkan ekonomi,keselamatan,martabat dan maruah orang

          Melayu.

2.       Merupakan tokoh korporat dan `tokoh Politik Melayu’ terulung.

3.       Pengasas  bandar Taiping.  

ATAS 

SUMBER :
Talib Samat

Tengku Menteri : kisah tokoh korporat bijih timah Melayu terulung Long Jaafar dan Ngah Ibarahim (pengasas Taiping bandar warisan) 1970-an hingga 1895.

 

 

Detik Imbasan Bersejarah : Perlombongan Bijih Timah

Melayu Terulung Di Tanah Melayu (TM 1840an – 1874)

   

Mohamed Ali bin Osman

 

Tanah Melayu tidak akan menjadi terkenal dan termasyhur ke seluruh pelosok dunia, jika tidak disebabkan adanya pengeluaran bijih timah yang dikeluarkan dari perut bumi bertuah ini.  Nama Tanah Melayu segera tersebar luas dan tercatat di peta dunia sebagai pusat pengeluaran bikih timah utama di dunia.

 

            Pada pertengahan abad ke19, Larut (Taiping) telah muncul sebagai daerah pengeluaran bijih berpontensi terbesar khasnya di Perak.  Adalah dipercayai bahawa Larut mempunyai sejarah tersendiri dan gemilang lebih awal lagi daripada yang tercatat dalam sejarahnya.  Berkemungkinan juga, kewujudannya sezaman dengan Bruas dan Dinding.  Di mana penempatannya dijumpai sepanjang persisir pantai Perak, seawall abad ke 6 Sebelum Masihi (S.M.).  Walau bagaimanapun, pendapat ini adalah berspekulasi tinggi.

 

            Dengan tersebar secara meluas itu, segera pula diketahui oleh negara-negara di antara kuasa bijih timah Perak telah menjadi ‘pusat rebutan’ sama ada timur atau barat khasnya, maka berlumba-lumbalah saudagar dan pedagang-pedagang dari barat dengan merempuh lautan luas serta mengharung ombak dan samudera menuju ke destinasinya iaitu Tanah Melayu.  Di antaranya Acheh , Siam , Belanda, Portugis, Inggeris dan lain-lain kuasa barat.

 

            Kemasyuran dan kekecohan di Larut telah lama wujud sejak kurun ke 18, iaitu semasa empayar pemerintahan Sultan Iskandar Shah (TM 1725 – 1765).  Baginda terpaksa memberi perhatian dan tumpuan khas kerana Larut adalah sebuah daerah yang amat sukar dikawal.  Ketika itu, hasil bijihnya telah dieksport ke luar Negeri melalui Sungai Perak.  Dalam abad ke 18 juga, pembelian bijih timah dimonopoli oleh Belanda.

 

            Dalam tahun 1840 an, Larut telah menjadi pusat penghasilan bijih timah terbesar sekali di Perak.  Orang yang bertanggungjawab, gigih dan sabar ialah Long Jaafar.  Walaupun pengeluaran bijih timah di Larut terkemudian daripada yang didapati di Sungai Ujong, Lukut dan Lembah Kelang, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa pengeluaran bijih timah di Larut lebih jauh perbezaaanya dan amat mengkagumkan.  Sekali gus pula meletakkan nama Tanah Melayu di kemuncak dunia serta mengharumkan namanya.

 

            Menurut sumber yang dipercayai, Long Jaafar berasal dari Acheh, di Sumatra, tetapi yang agak lebih jelas, beliau adalah daripada cucu-cicit yang terdekat dengan pihak yang bergelar Dato’ Panglima Bukit Gantang, iaitu salah seorang pembesar Perak yang di tempatkan di Bukit Gantang, Taiping.

 

 

            Sewaktu remaja, Long Jaafar pernah berhijrah ke Singapura.  Di Singapura, Long Jaafar dalam jagaan seorang pembesar Johor yang bergelar Temenggung.  Oleh kerana dalam hidupnya, Long Jaafar tidak mempunyai wawasan di masa depannya.  Beliau juga tidak mempunyai cita-cita dan tidak pula boleh dipertanggungjawabkan dengan sebarang tugas penting.  Justeru itu, Temenggung telah membuat keputusan untuk menghantar balik ke Perak.  Dia telah memilih Larut (Taiping) sebagai tempat tinggalnya.

 

            Tidak berapa lama kemudian, dengan takdir Allah yang mengatasi takdir manusia, tuahnya secara mendadak tiba kepadanya.  Dalam tempoh yang singkat sahaja, kehidupannya menjadi kaya-raya.  Long Jaafar telah berusaha dan menjumpai kawah bijih timah di Larut.  Adalah dipercayai, lombong bijih timah yang pertama ialah di kawasan yang dipanggil Klian Pauh (Taiping sekarang).  Pengeluaran hasilnya, menjadi berlipat-lipat ganda.  Mengikut rekod, dalam tahun 1844, bijihnya dieksport ke Pulau Pinang dari Larut.  Dalam tahun 1949, Long Jaafar telah berjaya mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan dia membawa masuk pekerja Cina (seramai 20 orang) dari Pulau Pinang untuk bekerja dan membuka lebih banyak lombong bijih di Larut. (Nota : Long Jaafar telah mendirikan tempat kediaman rasmi dan kota di Bukit Gantang – tapak dan makamnya serta keluarga masih wujud).

 

            Dengan takdir Allah, sekali lagi tuahnya jatuh ke ribaannya,  Seekor gajah peliharaannya, telah pergi berkubang ke dalam sebuah paya dalam rimba yang tidak berapa jauh dari kediamannya.  Apabila gajah itu ditemui, dibadannya penuh terlekat lumpur  kering yang mengandungi bijih.  Perkembangan baru itu, telah menambah lagi perlombongan dan hasilnya, amat di luar dugaan.  Tempat itu, telah dinamakan Klian Baru.  Gajah tersebut bernama ‘Larut’.  Sebagai mengenangkan jasanya, tempat berkenaan dinamakan Larut (sekarang Taiping).

 

            Pada November 1850, Sultan Shahabuddin, telah mengurniakan hak milik kekal di daerah Larut kepada Long Jaafar.  Kemudian pada tahun 1856, Sultan telah mengesahkan pemilikan seluruh daerah Larut kepadanya.  Tidak lama selepas itu, Long Jaafar yang telah memerintah  Larut dengan baik dan penuh kejayaan telah meninggal dunia.

 

            Ketika Long Jaafar meninggal dunia, anaknya Ngah Ibrahim baru berusia 20 tahun.  Maka anak mudanya itulah yang mewarisi seluruh kekayaan dan perusahaan melombong bijih di Larut.  Pada 28 Mei 1858, Sultan Jaafar telah mengesahkan hak milik kekal yang lebih luas lagi kepada Ngah Ibrahim, sebagai pemerintah Larut, termasuk Krian dan Bagan Tiang.  Dalam tempoh pemerintahan Ngah Ibrahim, Larut telah mengalami dan berlaku berbagai-bagai peristiwa hitam yang menggerunkan lagi amat menyedihkan.

 

            Kumpulan orang-orang Cina (seramai 20 orang) yang dibawa masuk oleh Long Jaafar ke Larut dahulu, adalah berasal dari kongsi-kongsi gelap di Pulau Pinang , yang juga dikenali sebagai Hai San.  Dalam pertengahan tahun 1861, telah berlaku suatu konflik berikutan perselisihan penggunaan air untuk tujuan kerja perlombongan, di antara Hai San dengan satu pihak lagi, dipanggil Ghee Hin.  Pergaduhan kedua-dua pihak ini, telah menyebabkan perang beberapa kali di Larut, yang telah mengorbankan beribu-ribu nyawa.

 

            Ngah Ibrahim dilantik sebagai Menteri – Pada 23 Oktober 1863, Sultan Jaafar telah mengurniakan kepada Ngah Ibrahim gelaran Orang Kaya Menteri Perak, iaitu sebagai salah seorang Orang Besar Empat di Perak.  Pada masa yang sama juga, diperbaharui hak milik kekal dan pengesahan kedudukannyasebagai pentadbir eksekutif di Larut.  Dalam dokumen tersebut, telah memperuntukkan kuasa yang lebih luas dan istimewa.

 

            Mengikut keterangan yang telah diperoleh, menyatakan dalam pertengahan tahun 1860 an, Ngah Ibrahim telah berjaya mengukuhkan kedudukannya, yang juga mempunyai sistem pentadbiran termoden ketika itu.  Beliau bersama-sama keluarganya, tinggal di kediamannya di Matang, lengkap dengan kota di sekelilingdikenali dengan ‘Kota Ngah Ibrahim’ – (masih wujud).-Di kota inilah, bertempat pusat-pusat strategik : perdagangan, pendidikan agama/barat, gudang bijih/khazanah/bekalan makanan dan pertahanan.  Pertahanannya lengkap dengan meriam dan alat senjata serta pengawal.  Ketua pentadbirannya, seorang kerani bernama Abdul Karim.  Konsep pemerintahannya berbentuk politik ala Perikatan dan Barisan Nasional kerana ketika itu sudah wujud masyarakat majmuk dari kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain, ini termasuk puak Hai San.  Sementara puak Ghee Hin pula, bolehlah disifatkan pembangkang.

 

            Di antara Mac-Oktober 1872, telah berlaku perang antara dua kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin.  Dalam tahun 1873, suatu perang besar telah tercetus di antara pihak yang sama.  Hai San telah membakar harta dan rumah-rumah Ghee Hin di Kuala Gula.  Perang ini adalah yang terbesar melibatkan pihak Larut dengan Pulau Pinang.

 

            Bagi tujuan mengawal keselamatan dan ketenteraman awam, Ngah Ibrahim telah memujuk Kapten Speedy yang pada masa itu sebagai Polis Superintenden di Pulau Pinang untuk berkhidmat dengannya di Larut.  Ngah Ibrahim menawarkan gaji yang tinggi iaitu STG 10,000 – STG 15,000 setahun, termasuk berkongsi kutipan cukai di Larut.  Pada 29 Julai 1873, Kapten Speedy telah meletakkan jawatan dan bekerja dengan Ngah Ibrahim.  Kapten Speedy telah mengambil rekrut sepoy (polis) dari India seramai 110 orang iaitu keturunan Punjabi (Benggali) dan Pathan.

 

            Di zaman kemuncak kegemilangan ‘Empayar Ngah Ibrahim’ dalam tahun 1860 an, khasnya dalam tempoh tujuh tahun sebelum tahun 1874 (Perjanjian Pangkor), hasil bijih timah dieksport keluar negeri  dari Larut, bernilai sebanyak $6 juta.  Kekayaan yang dimiliki oleh Ngah Ibrahim itu, bukan saja bijih timah tetapi juga ladang kopi di Asam Kumbang dan ladang tebu di Krian.  Kedua-dua ladang tersebut telah dipajak kepada saudagar Cina dari Pulau Pinang.  Harta-harta kekayaan yang dimiliki oleh Ngah Ibrahim : Kota/Kediamannya di Matang (masih wujud), beberapa buah kapal layer (berkuasa wap) diantaranya – ‘Bahtera Bayu’ – bernilai $25,000 ditempah dari England dan sewaktu hayatnya telah turut membina tiga buah masjid di Bukit Gantang, Matang dan Taiping.

 

            Mengikut maklumat yang diperolehi, iaitu dokumen bertulis berbentuk syair, terdapat 700 rangkap ditulis oleh cucu Ngah Ibrahim bahawa Kapten Speedy juga telah menjadi Setiausaha Peribadi kepada Ngah Ibrahim.  Di antara tugas khidmat yang ditawarkan kepada Ngah Ibrahim ialah untuk pergi meminang anak Tok Kaya, Orang Besar Selangor yang bernama Cik Meriam di Kelang.

 

            Ngah Ibrahim telah menanggung kerugian besar disebabkan perang Larut itu.  Wang telah banyak dibelanjakan untuk membayar gaji Kapten Speedy dan pasukan sepoy (polis).  Lombong-lombong tidak dapat diusahakan.  Ramai pekerja lombong lari atau terbunuh.  Dalam tahun 1871, Raja Abdullah merebut takhta kerajaan Perak.  Baginda telah mendapat bantuan daripada pegawai Inggeris dari Negeri-negeri Selat.  Akhirnya baginda bersama-sama beberapa orang pembesar Perak telah menandatangani Perjanjian Pangkor.  Baginda bersetuju menerima seorang Penasihat Inggeris, salah satu daripada persetujuan Pangkor yang telah dibuat pada 20 Januari 1874 itu.

 

            J.W.W Birch telah dihantar ke Perak untuk menjadi Penasihat Inggeris yang pertama.  Oleh kerana dia tidak tahu menghormati adat istiadat Melayu, bongkak, ambil alih pungutan cukai, ganggu pentadbiran Ngah Ibrahim di Larut dan menyifatkan pembesar-pembesar Melayu seperti budak-budak.  Inilah yang telah menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Melayu termasuk Sultan Abdullah.  Suatu pakatan membunuhnya telah dibuat.  Pada 2 November 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak.

 

            Mulai dari 14-24 Disember 1876, telah diadakan perbicaraan di atas pembunuhan Birch itu.  Perbicaraan diadakan di Mahkamah bertempat di Kota Ngah Ibrahim, Matang. Raja Muda Yusof dan Raja Alang Husin sebagai Hakim.  Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor dan Pandak Indut didapati bersalah dan dikenakan hokum gantung.  Ketiga-tiga mereka digantung pada 20 Januari, 1877.  Dimakamkan di Matang.

 

            Dalam tahun yang sama, 1877, Ngah Ibrahim bersama-sama Sultan Abdullah diasingkan ke Pulau Seyselles.  Dalam tahun 1884, Sultan Abdullah dibenarkan balik ke Perak.  Ngah Ibrahim dipaksa tinggal dan menetap di Singapura.  Dalam tahun 1895, Ngah Ibrahim meninggal di Singapura.  Makamnya tidak diketahui di mana letaknya.  Harta kekayaan termasuk lombong-lombong bijih, ladang kopi, ladang tebu dan tempat-tempat kediaman termasuk Kotanya di Matang telah dirampas oleh penjajah Inggeris.  Sehinggakan gambar-gambar mereka juga telah habis dimusnahkan.

 

            Demikianlah berakhirnya kisah sedih bersejarah untuk dijadikan sebagai iktibar betapa malangnya nasib sesuatu bangsa itu jika negara, harta kekayaan, agama, pendidikan, maruah dan rohani serta jasmani telah dijajah oleh sesuatu kuasa asing.

 

 

 

“MELAYU TAKKAN HILANG DI DUNIA”

 

ATAS

 

 

                                                        BACK